March 18, 2009

Ilham tersendiri konsep zen

Oleh Hartini Mohd Nawi





SETIAP penataan ruang mengilhamkan gaya tersendiri mengikut fungsi supaya segala perabot dan perhiasan dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Susun atur ruang yang ringkas dengan kehadiran perabot utama bersifat dwifungsi turut menggambarkan kriteria cita rasa dan gaya hidup pemiliknya.

Melihat kesinambungan itu, Star Living bagaikan pusat sehenti hiasan dalaman khususnya bagi anda yang meminati konsep zen.

Menurut Pengurus Besar Star Living, Liz Goh, idea mengetengahkan konsep berkenaan selari dengan pengenalan perabot berjenama Zen Tradition."Kini menghias ruang mengikut konsep pilihan sudah menjadi kemestian kepada setiap pemilik kediaman kerana idea penataan memberikan persepsi berbeza."

Apatah lagi perabot Zen Tradition ini bukan sekadar melengkapi konsep Zen, malah turut menyerikan pelbagai konsep lain termasuk klasik dan suai padan," katanya.Liz berkata, pengaruh zen sama juga dengan konsep dekorasi lain yang meletakkan aspek kedamaian sebagai perkara paling utama pada setiap tata hiasnya.

Susun atur ringkas memberikan keselesaan ruang pergerakan dan membuatkan sesiapa saja terasa lebih lapang.Penggunaan warna-warna alam ternyata memberikan kesan yang lebih mendamaikan serta suasana tenang sepanjang masa.

Rona lembut yang digabungkan pada konsep zen itu sendiri sentiasa mampu memberikan sentuhan santai siang dan malam.
Selain mengutarakan ciri praktikal, perabot pilihan utama juga berperanan sebagai dwifungsi penuh keselesaan.Bagi memberikan kelembutan dan konsep zen kepada aliran reka bentuk perabot pilihan, kemasan dari jenis fabrik bertekstur diberi keutamaan dengan variasi warna semula jadi seperti krim, coklat dan hitam.

Setiap ruang utama pula diserlahkan fungsinya melalui penggunaan kemasan lantai kayu untuk menggambarkan suasana santai sepenuhnya.Kehadiran tingkap jenis cermin yang luas dan panjang berfungsi memaksimumkan pemandangan di luar. Jika ingin menyedut udara segar, anda boleh menolak daun tingkap ke luar tetapi keluasan bukaan tingkap yang terhad dibuat untuk memastikan keselamatan.

"Bagi anda yang menggemari konsep zen dalam suasana klasik boleh menggunakan kreativiti yang diketengahkan kerana istilahnya ialah tinggi nilai dan mutu dengan reka bentuk abadi sepanjang zaman."Aspek yang paling ketara ialah penggunaan warna semula jadi terutama coklat, putih dan hitam bersama kombinasi aksesori hiasan gaya zen yang ringkas," katanya.

Dalam menzahirkan suasana berkonsepkan zen, segenap ruang pameran Star Living yang membawa jenama Zen Tradition itu didekorasikan bagai sebuah kediaman sebenar.

"Sekurang-kurangnya kami dapat berkongsi idea penataan konsep zen dengan kemasan perabot dan aksesori hiasan Zen Tradition," katanya.

Pada masa yang sama konsep zen yang diberi sentuhan gaya ringkas, klasik, minimalis zen dan moden kontemporari turut diketengahkan bagi memberi pilihan kepada pengunjung.

Anda yang berminat boleh berkunjung ke Star Living di 180, Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur atau layari laman web www.starfurn.com.

You Might Also Like

0 Comments