Wednesday, November 1, 2017

Kenali Asal Usul Nama Kampung SILIAU, Negeri Sembilan

Wednesday, November 01, 2017 2

RANTAU merupakan mukim atau pekan kecil dalam daerah Seremban. Terdapat beberapa perkampungan yang anda boleh lawati di situ. Antaranya Kuala Sawah, Siliau, Kg. Sega, Linsum dan Ayer Kuning yang telah membentuk menjadi sebuah pekan yang dinamakan Rantau. Kini, Pekan Rantau juga semakin maju dengan terdapatnya kemudahan-kemudahan seperti RHB Bank, KFC, Seven Eleven dan Pejabat Pos.

Rantau merupakan kawasan pertanian dan juga ladang-ladang getah. Masyarakatnya majmuk yang terdiri daripada keturunan Melayu, Cina dan India. Rantau juga merupakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dato Hj Mohamad bin Haji Hassan selaku Menteri Besar Negeri Sembilan


Kenali Asal Usul Nama SILIAU

Pastinya masih ramai lagi yang belum tahu dari mana nama Kampung Siliau yang ada di Rantau. SILIAU berasal dari perkataan Cina yang membawa maksud SI ialah mati dan LIAU pula ialah habis

Menurut sejarah, pada pertengahan abad ke-18, permintaan bijih timah bermula dan telah mendorong pelombong Cina untuk meneroka lombong baru. Keadaan ini berterusan sehingga ke Kampung Pengkalan yang kedudukannya berada di tepi Sungai Linggi yang mana telah lama didiami masyarakat Asli dan Melayu. Sekumpulan pelombong Cina yang datang dari Sungai Ujong atau Lukut telah datang meneroka lombong bijih timah di hilir Kampung Pengkalan. Mereka juga turut mendirikan rumah kongsi yang berbentuk bulat sert runcing di bahagian bumbungnya manakala di bahagian dalam sebelah atas dilengkapkan dengan peran (loteng) bagi menyimpan barang-barang berharga. 

Beras menjadi sumber makan utama bagi pelombong Cina di samping beras tersebut juga digunakan untuk membuat minuman yang diberi nama samsu. Penduduk tempatan kebanyakannya adalah golongan petani yang mana mereka menanam padi huma dan sawah dan digunakan untuk keperluan sendiri sahaja dan bukannya untuk dijual. Keadaan ini mendorong pelombong Cina melakukan kegiatan menyamun padi penduduk kampung yang disimpan di kepok padi. Penduduk tempatan kemudiannya menggerlarkan kumpulan pelombong Cina ini dengan gelaran CEMPIYANG.


Kegiatan kumpulan Cempiyang semakin berleluasa dan menimbulkan ketakutan kepada penduduk tempatan terutama sekali pada waktu malam. Akhirnya, telah mendorong 3 orang pendekar Melayu yang bersepakat untuk menghapuskan Kumpulan Cempiyang itu. 

Selain itu, bermain judi dan minum samsu menjadi tabiat pelombong Cina di waktu malam. Pada waktu siang, ketika pelombong Cina keluar bekerja, ketiga-tiga pendekar tadi menyelinap masuk ke rumah kongsi dan bersembunyi di peran (loteng). Bila malam menjelma, sewaktu pelombong Cina tidur kerana terlalu mabuk minum samsu lantas 3 orang pendekar  ini turun dan membunuh mereka semua. Sejak dari itu, tempat itu dinamakan SILIAU yang akhirnya menghilangkan nama asal kampungnya iaitu Kampung Pengkalan dan lain-lain.