February 02, 2011

Kasih Ibu

Saya memanggil ibu dengan panggilan awal nama beliau. Wan. Nama penuhnya Wan Fatimah. Itulah kelaziman orang-orang di sebelah Kelantan dan Terengganu memanggil ibu atau ayah yang mempunyai gelaran Wan.

Masa berubah. Mungkin penggunaan ayah, papa, daddy atau mama, umi, mummy mula mengambilalih panggilan kepada ibu bapa buat generasi masa kini. Apa pun panggilan, ia tidaklah terlalu signifikan. Perasaan kasih dan sayang kedua orang ibu bapa kepada anak-anaknya pasti tersemat. Sebaliknya, anak-anak juga sudah pasti mempunyai perasaan yang sama. Ia perasaan semulajadi lahir dalam hati sanubari kebanyakan anak dan ibu bapa.

Ia adalah fitrah manusia.

Wan berkahwin ketika usianya baru melepasi 13 tahun. Setahun kemudian, lahirlah kakak pertama saya. Kemudian hampir setahun satu, adik-beradik saya muncul satu persatu sehinggalah jumlah kami genap sedozen. Wan berehat daripada melahirkan anak sejurus beliau menerima cucu pertama. Maksudnya, hampir seluruh kehidupan Wan berkisar kepada melahir, membesar dan memberi perhatian kepada anak-anaknya.

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana Wan menguruskan kehidupannya semasa beliau berkeadaan “budak yang sudah bersuami”. Bagaimana Wan menyediakan makan-minum ayah dan anak-anak? Bagaimana Wan mengubah naluri “main-main” sebagai seorang remaja kepada seorang yang sudah dan perlu bertanggungjawab.

Seorang dewasa!

Wan pernah bercerita betapa ayah sangat menggemari nasi himpit yang dimakan bersama dengan sambal ikan. Beliau tidak pandai. Namun kerana sifat inginkan yang terbaik, mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan yang paling penting Wan mahu belajar, beliau berguru dengan ibu mertua. Akhirnya, sambal ikan Wan tidak ada tolok bandingnya. Bila Wan tiada, ia menjadi kerinduan anak-anak yang sudah pun mempunyai keluarga sendiri.

Dalam keadaan yang lain, mempunyai keluarga yang besar dengan pendapatan ayah yang kecil menyebabkan kami tidak boleh bermewah-mewah. Salah satu kegemaran kami sekeluarga ialah menikmati nasi Dagang untuk bersarapan. Di kampung, terdapat penjual Nasi Dagang yang sangat popular. Nasi dan lauknya memang tersohor. Sebagai seorang ibu, Wan tentu sekali berasa hiba kerana tidak mampu menyediakan nasi dagang yang setanding dengan penjual tersebut. Mahu kerap membeli tidak pula dalam kemampuan Ayah dan Wan. Lalu atas sifat kasih seorang ibu kepada anak-anaknya beliau berjumpa dengan penjual tersebut dan menyatakan hasrat,

“Saya mempunyai ramai anak. Anak-anak saya suka makan nasi dagang tetapi saya tidak mampu untuk membelinya dengan kerap. Saya ingin belajar cara memasaknya. Saya tidak ingin berjual, hanya untuk makan kami sekeluarga. Untuk anak-anak”

Barangkali kerana kasihankan Wan, penjual tersebut memberikan segala rahsia yang terlindung di sebalik kesedapan nasi Dagang beliau. Wan pula dianugerahkan Allah dengan kebolehan semulajadi. Apa yang dipelajarinya akan menjadi yang terbaik. Dan seluruh keluarga akan sentiasa mengharapkan Nasi Dagang Wan apabila pulang bercuti di kampung.

Setiap kali ayah membawa pulang roti canai, tidak mungkin kami dapat merasa lebih daripada sekeping. Alahai… apatah lagi untuk merasa roti telur. Wan memerhati anak-anak yang sedang membesar yang sentiasa dalam kebuluran. Naluri kasih sayang seorang ibu nyata terserlah.

Wan belajar menguli gandum. Wan cuba menebar roti canai. Keajaiban Tuhan, apa yang dilakukan oleh seorang ibu menjadi begitu sempurna. Rotinya lembut, rasanya tersangat sedap dan yang lebih penting, seisi keluarga hanya tahu meminta roti telur dan bukannya roti kosong semata-mata.

Ia bukan sekeping tetapi dua atau tiga keping seorang!

Anak-anak tidak pernah putus makanan. Kami bersarapan di sebelah pagi, minum pada jam 10.00 pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam. Makanan hasil tangan dan kasih sayang seorang ibu nyata membawa berkat. Kami, adik-beradik sentiasa merindui arwah Wan terutamanya apabila terpandang makanan yang menjadi kegemaran.

Ketika di MRSM, saya melihat rakan-rakan sangat bergaya. Mereka memakai pakaian berjenama. Ramai di antara mereka sudah mengenali Orlando, Padini, Lee, Durban dan pelbagai jenama yang hebat-hebat. Saya pula memakai baju yang dijahit oleh Wan. Keinginan untuk memakai pakaian berjenama terlintas di hati. Lalu saya khabarkan kepada Wan.

MasyaAllah, Wan benarkan saya membeli baju berjenama dan semenjak daripada itu beliau mengambil baju tersebut sebagai contoh untuk baju saya yang seterusnya. Akhirnya saya sedar yang saya tidak sepatutnya menghabiskan wang yang banyak semata-mata kerana ingin bergaya sebagaimana yang dilakukan oleh rakan-rakan yang berada.

Kasih ibu datangnya dalam pelbagai cara. Ibu-ibu pada zaman ini tentunya berbeza dengan apa yang telah saya lalui. Ramai di antara mereka mempunyai pekerjaan tetap. Hasilnya, pendapatan mereka merupakan sumbangan yang besar dalam konteks menyara keluarga. Saya fikir – dalam apa keadaan sekali pun – pengorbanan yang mereka lakukan adalah kerana perasaan kasih-sayang kepada anak-anak.

Masa beredar, suasana juga turut berubah. Sebagai seorang anak yang hidup dalam suasana yang penuh cabaran, pengorbanan seorang ibu perlu digalas dengan menjadikan diri kita sebagai insan yang mahu memikul tanggungjawab. Saya fikir, Wan yang berkahwin ketika usianya 13 tahun sudah mampu menerima tanggungjawab tersebut, kenapa tidak kita yang hanya perlu mengurus soal-soal “menuntut ilmu” supaya menjadi manusia yang berjaya.

Perhati dan fikirkanlah pengorbanan setiap ibu kita!

Berdoalah kepada Allah agar ibu kita dirahmati Allah, dikasihani, di beri taufik dan hidayah dan mudah-mudahan mereka semua terlepas daripada siksa kubur dan akhirnya dapat bertemu di syurga Firdaus. Doa-doa ini perlu dimohon kepada Dia yang Maha Berkuasa, tidak kira mereka masih ada ataupun sudah lama meninggalkan kita.

Pengorbanan ibu terlalu besar untuk diabaikan!

You Might Also Like

0 Comments